Zun Nun Al-Misri mendengar bahawa ada seorang yang sangat alim dan  zuhud, maka pergilah dia ke sana untuk belajar. Sesampainya di sana dia  menjumpai seorang lelaki menggantungkan dirinya pada sebatang pokok  dengan kepala ke bawah.
Orang itu berkata: 
“Wahai  diri! Tolonglah aku dalam mentaati Allah. Kalau tidak nescaya aku akan  hukum engkau dalam keadaan seperti ini sampai engkau mati kelaparan.”
Zun Nun mendekati orang itu lalu memberi salam dan dia menjawab.
“Apa yang telah terjadi dengan engkau ini?” Tanya Zun Nun.
“Tubuhku ini telah menghalangi aku untuk berseronok dengan Allah, kerana ingin bersuka-suka dengan manusia.” Jawab orang itu.
Dengan jawapan itu, Zun Nun menyangka bahawa orang itu telah menumpahkan  darah sesama Muslim atau telah berbuat dosa besar lainnya.
“Apa yang telah engkau lakukan?” Tanya Zun Nun.
“Tahukah engkau bahawa jika seseorang itu bercampur baur dengan orang lain, banyak perkara yang boleh berlaku?”
“Kalau begitu, engkau ini betul-betul orang warak dan alim,” kata Zun Nun.
“Mahukah aku tunjukkan kamu orang yang lebih alim dariku?” kata orang itu.
“Boleh juga,” kata Zun Nun.
“Nah,  sekarang pergilah engkau agak ke atas bukit ini. Insya Allah, engkau  akan berjumpa dengan wali Allah yang saya maksudkan itu,” kata lelaki itu.
.
Maka segeralah Zun Nun mendaki agak sedikit ke atas lagi sehingga  akhirnya ia berjumpa dengan satu tempat pertapaan yang di dalamnya ada  seorang pemuda sedang duduk bersila, sementara di hadapan pintu  pertapaan itu ada sebelah kaki yang terpotong membusuk dan dimakan ulat.  Zun Nun sangat ngeri dan tidak faham apa yang dilihatnya itu. Maka  diapun bertanya kepada pemuda tersebut apa ertinya semuanya itu.
Pemuda itu menerangkan bahawa pada suatu hari dia sedang duduk di dalam  beribadahnya, tiba-tiba ada seorang perempuan yang melintas di luar.  Apabila dia terpandang kepadanya, timbul keinginannya kepada wanita  cantik itu dan cuba untuk mengejarnya dari belakang.
Akan tetapi, baru saja dia melangkahkan sebelah kakinya ke luar dari tempatnya, tiba-tiba dia mendengar suara:
  “Wahai manusia, apakah engkau tidak merasa malu? Setelah tiga puluh  tahun engkau menghadapkan hati kepada Tuhan, tiba-tiba sekarang engkau  telah mahu ditipu oleh syaitan dan akan mengejar perempuan jahat itu.”
Disebabkan kerana kesalahannya itulah, pemuda itu telah memotong sebelah  kakinya yang telah terlanjur keluar dari tempat ibadahnya.
“Jadi aku ini sebenarnya orang berdosa,” kata lelaki itu.
“Maka  dari itu engkau tidak patut menemuiku yang sedang dalam penantian  keputusan ini. Jika engkau ingin menjumpai seorang yang betul-betul  wali, pergilah engkau ke puncak bukit ini.”
.
Sayang puncak bukit tersebut terlalu tinggi dan sukar untuk didaki  sehingga Zun Nun tidak sanggup mencapainya. Sebaliknya dia hanya  mendengarkan saja cerita si pertapa dari orang-orang yang mengetahuinya.
Katanya ada seorang lelaki yang telah bertahun-tahun mengabdikan dirinya  kepada Allah. Dia telah bersumpah untuk tidak makan selain dari  usahanya sendiri dan tidak akan makan makanan yang telah diproses.  Dengan izin Allah, sekumpulan lebah telah membuat sarang di dekat tempat  ibadahnya, dengan madu lebah itulah wali tersebut mengalas perutnya.
*begitulah taubat para orang yang alim, merasakan setiap setiap  kesalahan yang kita anggap ringan, sebagai suatu perkara yg menghalang  dari syurga. Jadi dimanakah tahap kita? adakah syurga itu sudah terjamin  untuk kita?
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan