Ahad, 31 Januari 2010

Mutiara Cinta

HANYA ada satu pelita yang dapat kita pegang dan akan sentiasa menyala biarpun ketika malam yang gelap dan tetap akan menerangi tempat-tempat yang jauh seperti menerangi tempat kita sendiri. Ia adalah cinta kepada semua yang bernyawa.

JATUH CINTA pada seseorang insan yang masih dalam proses berdukacita atas kehilangan orang tersayang, tidak pernah menjadi sesuatu yang mudah kepada yang terkena tempiasnya.

APABILA pintu hati sudah terbuka, tidak perlu suasana romantis disimbah cahaya lilin atau berlutut sambil merenung jauh ke dalam mata untuk menyatakan rasa yang terpendam. Segala-galanya akan datang sendiri dan difahami daripada hati luhur untuk menerima lamaran daripada sang kekasih.

CINTA, MENYINTAI ATAU DICINTAI itu adalah lumrah sifat kejadian manusia. Hak untuk bercinta dan menerima bergantung kepada individu itu sendiri. Pilihan adalah terpulang kepada kita, jika pilihan berlandaskan agama pasti hasilnya diberkati dan sekiranya berlandaskan nafsu pasti akan terhumban ke lembah kehinaan.

CINTA itu adalah segugus kepercayaan yang abadi. Dan cinta sejati itu bererti melepaskan orang yang disayangi terbang bebas ke dunianya. Kalau betul kau milikku pasti engkau akan kembali menghangatkan cinta kita.

SEKIRANYA kamu dicintai oleh seseorang yang tidak kamu cintai, anggaplah ia satu penghormatan buat dirimu tetapi kembalikan penghormatan itu dengan cara yang ikhlas dan jujur.Jangan kamu ambil kesempatan dan janganlah melukakan.

CINTA merupakan suatu perasaan yang agung. Jika cinta tiada lagi, bererti salah satu nikmat Tuhan telah dicabut dari hati, tandanya salah satu nilai kemanusiaan dalam diri anda mulai terhakis. Ia memerlukan pengorbanan yang besar sambil bermodalkan keikhlasan serta kejujuran yang tinggi.

ORANG yang tiada perasaan cinta adalah manusia yang hilang motivasi dalamannya. Cinta seharusnya melahirkan tindakan yang melambangkan kelembutan, kasih sayang dan kebijaksanaan terutama dalam membuat keputusan berhubung dengan insan yang amat dicintai. Cinta adalah kenderaan menuju kebahagiaan. Cinta murni sentiasa mampu pemandunya, pemiliknya melepasi semua halangan demi kecemerlangan. Cinta boleh membuatkan manusia bangun membina kehidupan yang terbaik.

ALANGKAH bodohnya manusia yang menjadikan cinta untuk membina kesusahan di hari muka. Jika cinta dijelmakan dalam diri, ia begitu memotivasi. Jika diberikan kepada seseorang ibarat memberikan segunung emas kepadanya. Tatkala dijelmakan dalam rumahtangga, jawapannya adalah kerukunan dan kesefahaman yang berpanjangan. Cinta yang murni adalah pemangkin untuk kehidupan yang penuh kebahagiaan. Sebagaimana ia bermula di hati, cinta seharusnya berkekalan hingga hujung nyawa.

CINTA yang benar-benar tulus dan ikhlas sepatutnya menjadikan pemiliknya bertambah matang, beriman dan berperibadi mulia. Jika yang sebaliknya berlaku, ia menjadi tanda bahawa itu bukan cinta sejati yang anda cari-cari.

15 Madah Cinta Paling Panas

Kata-kata cinta yang puitis dan indah sememangnya mampu memberikan impak kepada perhubungan yang terjalin. Walaupun ringkas, madah cinta selalunya mempunyai maksud yang mendalam apabila diperhalusi.

Jika suatu ketika dahulu kata-kata seperti HACKS (Hanya Aku Cinta Kau Seorang) atau CINTA (Cinta Itu Nikmat Tapi Awas!) cukup popular di kalangan remaja yang bercinta, kini disenaraikan pula 15 madah cinta yang dikatakan paling hangat sepanjang tahun ini.

Jika anda tidak mempercayainya, apa kata kamu cuba tujukan madah-madah cinta ini kepada insan yang kamu sukai dan lihat respon yang diberikannya. Jika si dia tersenyum sambil menatap wajah anda, itu bermakna kamu berjaya menyentuh hatinya.

1. Cinta tidak pernah meminta ia sentiasa memberi, cinta membawa penderitaan tetapi ia tidak pernah berdendam dan tidak akan membalas dendam. Di mana ada cinta di situ ada kehidupan. Manakala kebencian membawa kepada kemusnahan.

2. Jangan simpan kata-kata cinta kepada orang yang tersayang sehingga dia meninggal dunia, kerana akhirnya anda akan catatkan kata-kata cinta itu di pusaranya. Sebaliknya ucapkan kata-kata cinta yang tersimpan dimindamu itu sekarang selagi dia mampu mendengar dan tersenyum kepadamu.

3. Mungkin Tuhan menginginkan kita bertemu dan bercinta dengan orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat. Selepas menemui insan yang tepat itu, sudah pasti kita akan mengucapkan terima kasih di atas kurniaan yang tidak terhingga itu.

4. Jika kita mencintai seseorang, kita akan sentiasa mendoakannya walaupun dia tidak lagi berada di sisi kita.

5. Jangan melarikan diri daripada cinta apabila ia berada di hadapanmu. Kerana suatu masa nanti, anda pasti teringat kembali akan cinta tersebut dan menyesali perbuatanmu itu.

6. Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan jiwa raga.

7. Cinta berupaya mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat dan kemarahan menjadi rahmah. Itulah kuasa cinta.

8. Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintaimu. Tetapi lebih menyakitkan apabila anda mencintai seseorang tetapi anda tidak pernah memiliki kekuatan dan keberanian untuk menyatakan cintamu kepadanya.

9. Kadangkala kamu tidak menghargai insan yang mencintamu sepenuh hati hinggalah anda kehilangannya. Ketika itu sesalan sudah tidak berguna lagi kerana perginya tidak mungkin akan kembali lagi.

10. Cinta ibarat pasu antik yang sukar ditemui dan sukar untuk diperolehi. Tetapi ia cukup mudah untuk jatuh berderai sekiranya tidak dijaga dengan elok.

11. Cinta sebenarnya tidak buta. Cinta adalah sesuatu yang murni, luhur dan diperlukan. Apa yang buta ialah apabila cinta itu menguasai dirimu tanpa pertimbangan.

12. Kejarlah cita-cita yang diimpikan sebelum mencari cinta. Apabila tercapainya cita-cita, maka dengan sendirinya cinta itu akan hadir.

13. Setiap orang punya rasa cinta. Tetapi tidak semua orang pernah merasai cinta. Setiap orang pernah bercinta tetapi tidak semua yang berpeluang mengecapi bahagia.

14. Cinta itu apabila kamu bertemu dan membuat pilihan yang tepat.

15. Manusia tidak jatuh di dalam cinta dan juga tidak keluar daripada cinta. Tetapi manusia tumbuh dan membesar bersama cinta.