Isnin, 25 April 2011

Sebelum Dibius Cinta


“Bodoh punya batu, kenapa kau langgar kekasih aku?” marah seorang lelaki kepada seketul batu yang ‘melanggar’ buah hatinya.
“Oh abang, biar pun baju abang masam, masam itulah masam-masam manis jiwaku!” kata seorang‘gelifriend’ kepada ‘buayafriend’ beliau.
Dialog di atas adalah ayat-ayat cinta yang biasa. Biar pun bunyinya sangat luar biasa kepada manusia biasa, ia amat biasa dan perlu bagi dua belangkas yang sedang mabuk cinta. Sama ada cinta di antara dua pasangan yang belum bernikah, atau yang pengantin baru yang sedang menikmati bulan-bulan madu mereka.
BIUS CINTA
Memang cinta itu luar biasa. Cinta bukan sahaja buta, malah boleh membutakan lagi melumpuhkan mereka yang terkena panahannya.
“Aku dibius cinta!” kata Melly Goeslow.
Kemabukan cinta ini menyulitkan kita untuk merasionalkan perbincangan. Perbahasan-perbahasan tentang do’s and don’ts yang dikemukakan untuk keelokkan jangka panjang cintanya, ditepis sambil pandangan melirik sebelah mata sahaja.
Namun, saya ingin mengajak pasangan yang sedang mabuk cinta, belangkas yang sedang bertelinga tuli dari nasihat-nasihat di sekitar mereka, supaya duduk sejenak dan berusaha untuk menjawab soalan-soalan realiti yang saya senaraikan di bawah nanti, sesuai untuk meneroka kembaramawaddah dalam sebuah rumahtangga yang kekal hingga ke hujung nyawa.
Firman Allah SWT:
30_21
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Rum 30: 21] 
Sesungguhnya mawaddah itu adalah cinta yang tumbuh, terbina dan bertambah dari semasa ke semasa di sepanjang bahtera perkahwinan dilayari. Cinta yang terbit dari satu demi satu kejayaan suami dan isteri menempuh kesukaran, kesulitan dan cabaran hubungan perkahwinan mereka.
Agar bulan madu itu bulannya menjadi tahun yang berpanjangan, dan madu tidak menjadi racun, saya mengajak setiap pasangan yang masih ‘sedar’ sebelum dibius cinta, agar menjawab soalan-soalan berikut dengan jujur dan telus. Jangan tergesa-gesa menjawabnya, fikirkan satu persatu, sehari demi sehari, sebelum menabur janji menyulam kata, sebelum janji dimeterai, sebelum ikatan disahkan agama:
SOALAN PEREMPUAN KEPADA PASANGANNYA:
  1. Syukur Alhamdulillah, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat bulan atau lima. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga. Sabarkah engkau dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu?
  2. Semasa mengandung, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana. Tidur sering tidak lena, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja tetapi segala yang kurasa di setiap inci tubuhku, menimbulkan resah dan tidak selesa. Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?
  3. Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu. Masihkah aku buah hatimu?
  4. Semasa kita mula berumahtangga, pasti hidup kita indah bagai di Syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun ketika cahaya mata bertambah bilang, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah. Dalam suasana yang banyak tekanan di rumahtangga kita, apakah engkau masih mampu ceria? Sabar dengan kerenah anak-anak dan ibu mereka, terus tersenyum menawarkan bahagia?
  5. Selepas beberapa tahun berumahtangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara mara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat. Di kala engkau diasak keluarga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?
  6. Andai selepas beberapa tahun berumahtangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita, apakah aku masih kekasih hatimu?
  7. Jika aku ditakdirkan Allah diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah kauhadiahkan kepadaku, masihkah engkau mencintaiku?
SOALAN LELAKI KEPADA PASANGANNYA:
  1. Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Sabarkah engkau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?
  2. Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita di hatimu?
  3. Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh dari mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana ‘menanggung’ aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah engkau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?
  4. Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu menceriakan aku, namun sabarkah engkau dengan diriku dan mampukah cinta kita di hatimu terus membenih bahagia?
  5. Jika kerjayaku berkembang di luar jangkaan kita, engkau terpaksa berkongsi diriku dengan massa, dan aku terpaksa selalu ke sini sana untuk bekerja. sabarkah engkau dengan suasana itu, dan aku masih cinta hatimu?
  6. Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumahtangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah engkau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumahtangga kita?
  7. Sekiranya rumahtangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini di dalam kain pelekat yang pernah kauhadiahkan kepadaku, apakah ia menggugat cinta kita dan mampukah engkau terus hidup di sisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?
Seorang suami dan seorang isteri, akan berusaha dan berdoa agar tidak teruji dengan situasi sedemikan rupa. Memohon kepada Allah agar tidak dibebankan dengan ujian yang di luar upaya diri.
2_286
“…Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya” [al-Baqarah 2: 286]
Namun, menyedari bahawa kehidupan berumahtangga itu adalah lanjutan peringkat kehidupan, bukan melangkah ke mimpi yang jauh dari realiti alam nyata, pastikan langkah kaki tidak bermula, sebelum telah jelas gambaran akhir di minda.
Sesungguhnya saya senaraikan 14 soalan, separuh untuk bakal suami dan separuh untuk bakal isteri, bukanlah soalan yang direka-reka tanpa asas. Mengendalikan sesi perkongsian di antara teman-teman dan peserta program, bertukar-tukar pandangan serta nasihat dari golongan yang lebih berusia, mengumpulkan hal-hal ini untuk direnung oleh kita semua.
Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya. Bahawa cinta dan rumahtangga kita indah semuanya. Tidak akan diuji sedemikian rupa. Sebagaimana semasa melihat kematian, kita sering melihat kematian itu kematian orang lain, tanpa pernah meletakkan diri di ketentuan itu. Biar pun mati itu pasti, kita yakin ia bukan giliran kita. Masih punya masa, masih punya ketika.
Tidak membuat persediaan, itulah kematian sebelum mati.
Membiarkan diri dibius cinta, itulah racun pemusnah cinta, apabila cinta realiti, diterbangkan ke langit impian, hingga kaki tak jejak bumi, tangan gagal menggapai awan.
Sebelum anda dibius cinta… soallah diri sejauh mana anda bersedia?

Cinta Ilahi Bukan Lakaran Puisi


003.jpg
“Cukuplah sudah aku dipermainkan selama ini. Cintaku kini hanya untuk Ilahi. Bukan untuk mana-mana lelaki!”, ungkap seorang siswi yang putus cinta.
“Cinta manusia adalah palsu belaka. Cinta Allah, itu yang utama”, kata seorang yang lain.
Termenung saya membaca ungkapan-ungkapan seperti ini. Semakin banyak kedengaran di dalam lirik-lirik nasyid. Semakin banyak kelihatan di blog tempat orang muda meluahkan kekecewaan.
Fahamkah mereka dengan apa yang mereka ungkapkan?
Cinta Ilahi?
Tiada lagi cinta lelaki?
Wanita gila harta?
Hanya Allah sahaja yang ‘setia’?
Seperti yang pernah saya ungkapkan di dalam artikel Anti Slogan, saya memang tidak suka mendengar orang bercakap benda yang dia sendiri tidak faham. Mumbling… kata orang Putih.
Apakah ada konflik antara cinta Allah, cinta lelaki, dan cinta perempuan? Cinta hanya satu. Pilih sama ada buayafriend mahu jatuh hati kepada gelifriend, atau menyerahkan cintanya hanya kepada yang Esa?
Saya tidak suka orang bermain dengan kata-kata.
Jika sudah kecewa dengan si dia, tiada lagi cinta kepada penggantinya?!
BERTAPA?
Habis, mahu ke mana? Ke puncak gunung bertapa seperti rahib? Enggan berumahtangga kerana mahu mendedikasikan diri kepada Dia dan bukan dia? Fikiran apa ini? Islamkah yang mengajar kita berfikir begitu?
Tidakkah kita sudah dinasihati tentang kisah segelintir sahabat yang tersilap memahami cara melihat Ibadah Nabi SAW yang begitu sederhana?

“Sesungguhnya salah seorang daripada sekumpulan sahabat Nabi sallallahu alayhi wa sallam telah berkata, “Berkenaan dengan diriku, maka aku akan berpuasa dan tidak berbuka. Berkata seorang yang lain: Aku akan berQiyam di malam hari dan tidak akan tidur. Dan berkata lagi seorang yang lain: Aku pula, aku tidak akan mengahwini perempuan. Seorang lagi berkata: Aku pula, sekali-kali aku tidak akan memakan daging. Lalu Baginda Sallallahu alayhi wa sallam bangun dan berucap, lantas Baginda berkata, “Apa halnya dengan pemuda-pemuda yang setiap seorang mereka ini berkata begini begitu? Aku sendiri berpuasa dan berbuka, bangun malam dan aku juga seorang yang mengahwini perempuan juga aku memakan daging. Barangsiapa yang tidak ingin kepada Sunnahku maka dia bukan dari kalangan (pengikut)ku” (Dari Sunan al-Nasaa’ie, no. 3217)
Janganlah bermain-main dengan kata-kata yang kosong dari makna, jauh sekali dari yakin dan percaya. Belajarlah untuk menyelami makna dan menyebut perkara yang kita jelas tahu akan makna dan maksudnya.
Ungkapan cinta Ilahi bukan ungkapan yang kosong, jauh sekali abstrak dan penuh misteri.
Cinta Ilahi bukan inspirasi untuk mengungkapkan syair-syair yang bertepek di sana sini di blog siswa siswi.
Jangan berlakon menjadi Rabiatul Adawiyah. Tidak perlu memakai kasutnya. Rabiatul Adawiyah itu insan yang tersendiri.
Bagi kita di sini, bercintalah dengan Allah secara realiti.
CINTA ILAHI ADA CARANYA
Tidak pernahkah kita merenung ingatan dari Allah sendiri terhadap orang yang mendakwa mereka itu cinta kepada-Nya?
tuhibbunallah.JPG
“Katakanlah: Jika sesungguhnya kamu itu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya kamu juga akan dikasihi oleh Allah, dan akan diampun-Nya kesalahanmu. Dan Allah itu Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Aal Imraan 3: 31)
Jika cintakan Allah, contohilah Rasulullah SAW. Hiduplah macam Rasulullah, buatlah kerja macam Rasulullah.
Sibukkan diri dengan belajar dan mengajar, berdakwah dan memberi peringatan, membela agama dan bekerja untuk ummah, sibukkan diri dengan segala kebajikan demi cinta kita kepada-Nya.
Berhentilah berpuisi, andai puisi itu datang dari sebuah khayalan tentang cinta Ilahi sambil memicit jerawat di tingkap pagi.
Jika mahu mengungkapkan Cinta pada madah dan kata, luahkan ia dari rohani dan jasmani yang bekerja untuk kekasih-Nya. Hiasilah blog kalian dengan catatan amal dan muhasabah diri, bukan retorik dan angan-angan terhadap CINTA ILAHI.

Cinta Seratus Peratus


“Abang tidak cinta kepada saya sepenuh hati. Tidak seratus peratus,” rungut seorang isteri kepada sang suami.
Suami terdiam.
Lidahnya kelu. Tetapi hatinya menghitung-hitung. 
“Bagaimanakah isteriku mencongak kasihku kepadanya? Hingga timbul peratusan begitu. Apakah cintaku kepadanya hanya 50%, atau 80% atau 90% pada saat paling manis aku bersamanya?” benak hati suami berkata-kata.
Jiwanya bergelora.
Selama ini, hatinya sebagai suami tidak pernah dikongsi dengan sesiapa. Biar pun dia tidak mampu menyalut tubuh isteri dengan intan permata, namun hatinya yang lebih jernih dari berlian itu diberikan sepenuhnya buat si isteri, wanita yang dikahwininya kerana cinta.
Di mana silapku?
Merungut tentang kelemahan-kelemahan diri seorang lelaki bernama suami, adalah sesuatu yang lumrah dalam bahtera rumahtangga. Suami ada kalanya ditimpa malas, ada masanya kurang sensitif dengan perasaan isteri. Terlalu sibuk dengan kerja, hingga mungkin sesekali terabai anak-anak dan rumahtangga. Rungutan isteri, boleh diterima sebagai tazkirah dari Dia untuk kebahagiaan dan masa depan rumahtangga.
Tetapi rungutan isteri yang mempertikaikan cinta sang suami… ia bukan rutin kebiasaan.
Rungutan itu mempersoalkan sesuatu yang paling kudus dan suci dalam ikatan hubungan di antara seorang lelaki dan perempuan bergelar suami dan isteri. 
PERANAN SUAMI
Sesuatu yang ada kalanya terbentang dalam bahasa yang tidak seimbang, tanggungjawab seorang suami ke atas isteri sebenarnya jauh lebih banyak berbanding dengan tugasan isteri terhadap suami. Namun ‘cuaca’ perbahasan hal ehwal rumahtangga di dalam gelanggang Islam, sering terkesan oleh kecenderungan dominasi kaum lelaki (male chauvinism), hingga yang banyak diperkatakan adalah kelemahan, kesilapan dan kesalahan kaum isteri.
Isteri yang sering dileter dalam ceramah-ceramah agama.
Ayat-ayat al-Quran dan Hadith yang bercakap tentang peranan isteri, yang sering dipetik di dalam ucapan dan tulisan.
Sedangkan, wahyu Allah dan petunjuk Nabawi sarat berisi dengan tugas serta tanggungjawab seorang lelaki bernama suami. Tanggungjawab itu bermula dari soal nafkah zahir dan batin, hinggalah kepada soal keperluan emosi isteri. Belaian sang suami, kata-kata yang baik, malah segala kebajikan harus mendahulukan isteri, juga anak-anak berbanding orang lain di luar daerah rumahtangga.
Oleh kerana tugas dan tanggungjawab yang begitu banyak terpikul di bahu seorang suami, dia harus menjadi seorang pencinta yang hebat.
Cinta yang mendorongnya bekerja.
Cinta yang merangsangnya berperanan.
Cinta yang menjadikan segala tugas dan tanggungjawab yang dilakukannya itu suatu keseronokan dan kepuasan dalam hidup.
Tanggungjawab tanpa cinta, adalah beban dan derita.
Tidak mungkin seorang suami mampu untuk menjalankan peranannya dengan baik sebagai seorang suami, jika dirinya bukan seorang pencinta yang hebat.
MASIH DIPERTIKAI
Justeru, andai seorang suami itu bersungguh-sungguh dalam peranan yang dimainkannya, mengapa isteri masih mempersoalkan cinta suami?
“Abang tidak cintakan saya sepenuh hati!’ mengapa begitu mudah seorang isteri melontarkan soalan sedemikian rupa?
Kembalilah kita kepada suatu amaran luar biasa seorang Nabi:
uritunnaara
“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!” [hadith riwayat al-Bukhari]
Ia bukan hadith yang memberi maksud bahawa wanita itu tempatnya di Neraka. Naudhubillah… 
Kita tidak ke Syurga atau Neraka kerana jantina.
Justeru hadith ini bukan kenyataan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang Syariatullah.
Sebaliknya ia merupakan indikasi baginda tentang sesuatu yang bersangkutan dengan Sunnatullah.
Tentang kecenderungan perlakuan kaum perempuan yang mudah mengkufuri nikmat berumahtangga.
Hadith yang menjawab tanda tanya sang suami itu tadi.
Suami berlaku baik kepada sang isteri sepanjang tahun. Namun tatkala ada sesuatu yang tidak kena dilakukan oleh seorang suami, mudah sekali seorang isteri berkata kepada suaminya, “aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”
Perlakuan seperti ini diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai berkait rapat dengan wanita, merujuk kepada kebiasaan dan mudahnya wanita terjerumus kepada tindak tanduk seperti ini. Ia harus diambil sebagai peringatan, bukan hukuman atau keputusan.
Perbuatan menafikan kebaikan suami digelar sebagai kufr al-’asyeer iaitu kufur terhadap nikmat di dalam rumahtangga. Ia dikategorikan oleh al-Imam al-Bukhari sebagai “Bab Kufur Kepada Suami, dan Kufur Yang Bukan Kufur” iaitu tajuk kepada hadith ini di dalam Kitab al-Imaan.
PELAJARAN KEDUA BELAH PIHAK
Hadith ini memberikan pelajaran yang penting kepada kedua belah pihak.
Bahawa bagi isteri, hindarkanlah diri dari mudah terjerumus kepada percakapan-percakapan yang membinasakan ini. 
Manakala bagi seorang suami, ketahuilah bahawa, tugasmu adalah untuk memberikan seratus peratus komitmen dan kasih sayang kepada isteri. Tetapi JANGAN sekali-kali kamu cuba mengejar seratus peratus tersebut. Beri 100% tetapi jangan kejar 100% itu kerana bahayanya bagi seorang suami terjerumus ke lembah kecenderungan seorang isteri untuk menafikan pemberian suaminya.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar akan meninggalkan perjuangan.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar telah mendurhakai serta mensesiakan ibu dan bapanya.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar telah mengabaikan anak-anak mereka sendiri.
Semuanya kerana terlalu mengikut desakan isteri yang terus menerus mahu suaminya memberikan seratus peratus cinta yang tidak pernah dikecapinya itu. Ketika inilah, isteri malah anak-anak boleh bertukar dari penyejuk mata dan hati, kepada musuh yang membinasakan:
64_14-i
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka…” [al-Thaghaabun 64: 14]
Namun, sebagai seorang pencinta yang benar dalam cinta dan kasih sayangnya kepada isteri, seorang suami harus ada keupayaan untuk bersabar, memaafkan, tidak marah dan mengampunkan kesalahan isteri serta anak-anak itu tadi, maka ketahuilah wahai suami, Allah juga Maha Pengampun lagi Maha Pengasih kepada engkau, isteri dan anak-anakmu.
64_14-ii
“… dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Taghaabun 64: 14)
MENCARI PELENGKAP 100%
Manakala bagi seorang isteri, sesungguhnya dirimu tidak akan sekali-kali dapat merasakan yang suamimu mencintaimu sepenuh hati, sehinggalah kamu hindarkan dirimu DARI KUFUR KEPADA SYUKUR. Jauhkan dirimu dari kufr al-asyeer, menafikan kebaikan-kebaikan yang telah suamimu berikan di atas cintanya kepadamu kerana Dia, sebaliknya belajarlah untuk bersyukur kerana syukur itulah yang mengganda-gandakan nikmat yang engkau terima.
14_7
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras” [Ibrahim 14: 7]
Sesungguhnya, perasaan bahawa suamimu tidak mencintaimu sepenuh hati, biar pun dia telah berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya terhadap dirimu, rasa kekurangan itu mungkin bukan datang dari kekurangan suamimu, tetapi kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak menambah nikmat-Nya berupa kasih sayang suami kepadamu untuk melengkapkan rasa kurang itu, kerana terjerumusnya dirimu ke lembah kufr al-’asyeer.  Sang isteri bukan mengkufuri Allah, tetapi kufur kepada nikmat Allah berupa kasih sayang suami kepada dirimu.
Demi untuk merasakan kesempurnaan pada cinta dan kasih itu, bersyukurlah… nescaya Allah akan tambah-tambahkan lagi nikmat-Nya. Suamimu tidak akan mampu memberikan ‘seratus peratusmu’ itu sehinggalah engkau mendapatnya dari Allah, Tuhan yang menggandakan nikmat sebagai balasan syukur seorang hamba.
Dan jika kita biarkan diri terbelenggu dalam kekufuran, ketahuilah bahawa sesungguhnya azab Allah itu amat pedih kesannya. Usahkan azab Akhirat yang tidak terbayang itu, pedihnya sampai ke dunia hingga Baiti Jannati yang kau dambakan selama ini, menjadi neraka dunia yang menyeksa lagi membinasa.
Sebagaimana suami amat mudah terheret ke Neraka kerana tidak memberi seratus peratus, begitulah juga isteri amat mudah terheret ke Neraka kerana meminta-minta seratus-peratus itu.
Bertaqwalah kepada Allah wahai suami yang tidak memberi seratus peratus.
Bertaqwalah kepada Allah wahai isteri yang meminta seratus peratus itu.