Isnin, 21 Disember 2009

Mengenali Cinta....


CINTA abadi, bermakna cinta hakiki yang akan meletakkan kita kekal abadi di akhirat nanti. Kasih sayang yang suci dan sejati, bererti lahirlah satu penjanaan yang hakiki dalam menghasilkan “rabitah” yang kukuh. Selain itu, ikatan ini akan menjamin keselesaan di akhirat tanpa ada bantah-membantah sesama kita. Namun janganlah disalah ertikan konsep “al hubb” ini, kerana “al hubb” di kalangan manusia hari ini ada cinta yang halal bahkan cukup indah dan ada juga cinta yang haram tapi mengasyikkan namun berakhir dengan kepanasan dan kepedihan neraka jahannam. Hasil sensitiviti kita terhadap apa yang berlaku terhadap umat Islam hari ini, mengingatkan kembali kepada nilai “al hubb” di hati umat Islam . Samada cinta mereka kepada Allah, Rasul dan sesama umat Islam terjalin kukuh atau tidak . Keganasan yang berlaku terhadap umat Islam di Bosnia, Kosovo, Kashmer, Algeria, Pelastin, dan sebagainya telah memperlihatkan kadar cinta umat Islam kepada Allah, Rasul dan sesama umat Islam. Gejala jenayah murtad, zina, rompak, judi, buang bayi, rasuah, penolakan hukum Allah dan sebagainya yang berlaku di tanah air tercinta sebagai tanda bahawa telah luntur bahkan telah hilang sama sekali rasa cinta dan kasih kepada Allah, Rasul dan sesama umat Islam .

Firman Allah Taala yang bermaksud: Katakanlah “jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu, Allah maha pengampun lagi maha penyayang.” al-Imran ayat 31, al Quranul Karim.

Cinta kepada Allah dan Rasul bermakna, sanggup melaksanakan segala suruhan dan sedia meninggalkan semua larangan dan tegahan-Nya. Cinta kepada Allah dan Rasul, bererti sanggup berkorban jiwa raga demi mendapatkan rahmat dan keredhaan daripada Allah yang Maha Esa. Cinta kepada Allah dan Rasul juga bermaksud, tidak mengambil dan menghukum selain daripada apa yang telah disyariatkan oleh Allah Taala dan Rasul-Nya.

Akibat dari luntur dan gugur serta hilangnya nilai “al-hubb” di hati umat Islam kepada Allah dan Rasul-Nya, maka bala dan ujian Allah Taala pastikan tiba. Buktinya, lihatlah kesan pencabulan umat Islam terhadap hudud-hudud Allah, hasil dari kosongnya jiwa mereka daripada nilai cinta yang hakiki ini, maka lahirlah pelbagai masalah sosial yang menghabiskan harta negara dan merimaskan umat. Perubahan cuaca yang ketara iaitu kemarau yang berpanjangan, musuh- musuh Islam dari dalam dan luar menyerang dan mencabul kesucian dan keizzahan umat Islam dan sebagainya lagi, juga merupakan kesan kepupusan cinta yang hakiki kepada Allah dan Rasul-Nya.

Selain itu, cinta sesama umat Islam juga kian pudar dan tawar , bahkan kadang-kadang pahit lebih daripada hempedu. “Hidup bermuafakat membawa berkat”pepatah yang tiada lagi nilainya di kalangan kita . “Cubit paha kanan , paha kiri terasa” kata-kata yang telah hilang di hati kita semua. Bahkan sabda Rasullah yang bermaksud “Tidak beriman seseorang dari kamu, sehingalah dia cinta kepada saudaranya sebagaimana dia cinta kepada dirinya sendiri” sering dilupai dan ditinggalkan oleh umat Islam .

Nilai “al-hubb fillah, wabillah” sesama Islam ramai yang kurang memahami, dan kalau yang faham pun tatbiki dan praktiknya tidak berlaku. Masing-masing dengan “ananiyahnya” dan asyik berlumba-lumba mencari “self-actualisation”( kewujudan diri ) tanpa menoleh kepada teman-teman sekeliling . Umat Islam sanggup mengkhianati sahabat sendiri, umat Islam sanggup menipu teman karib, bahkan umat Islam sanggup membunuh jasad dan membunuh peribadi saudara mereka sendiri .

Oleh itu, kita melihat umat Islam hari demi hari disembelih, dikorek biji mata, digantung, diperkosa, dicincang, dan sebagainya lagi . Namun, umat Islam sekadar membisu , bahkan ada yang masih ketawa dalam keseronokan dunia, “lagha” dengan keasyikan cinta jahanam yang meloyakan serta alpa dalam keindahan dunia yang sementara. Inilah hasil hilangnya rasa cinta dan kasih umat Islam sesama Islam. Inilah sikap kita yang tidak lagi mengambil berat terhadap hadis Rasulullah saw yang bermaksud “Barang siapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka ia bukan dari kalangan kami”.

Akhirnya, prioriti yang harus kita titikberatkan sekarang ialah, marilah kita sama -sama menjalin dan mengutuhkan kembali cinta hakiki dan abadi di dalam diri masing-masing . Cintailah Allah kerana sesunguhnya syurga pasti menanti . Cintailah Rasulullah saw, syafaat dan pertolongan akan diberikan di Akhirat kelak. Cintailah sahabat-sahabat kita, nescaya akan menampilkan keizzahan dan kekuatan hasil dari ikatan ukhuwah yang terjalin. Sebaliknya tingalkanlah cinta yang melalaikan dan tidak mendatangkan apa-apa manafaat, bahkan boleh mendatangkan kemurkaan Allah Taala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan