Isnin, 25 April 2011

Cinta Seratus Peratus


“Abang tidak cinta kepada saya sepenuh hati. Tidak seratus peratus,” rungut seorang isteri kepada sang suami.
Suami terdiam.
Lidahnya kelu. Tetapi hatinya menghitung-hitung. 
“Bagaimanakah isteriku mencongak kasihku kepadanya? Hingga timbul peratusan begitu. Apakah cintaku kepadanya hanya 50%, atau 80% atau 90% pada saat paling manis aku bersamanya?” benak hati suami berkata-kata.
Jiwanya bergelora.
Selama ini, hatinya sebagai suami tidak pernah dikongsi dengan sesiapa. Biar pun dia tidak mampu menyalut tubuh isteri dengan intan permata, namun hatinya yang lebih jernih dari berlian itu diberikan sepenuhnya buat si isteri, wanita yang dikahwininya kerana cinta.
Di mana silapku?
Merungut tentang kelemahan-kelemahan diri seorang lelaki bernama suami, adalah sesuatu yang lumrah dalam bahtera rumahtangga. Suami ada kalanya ditimpa malas, ada masanya kurang sensitif dengan perasaan isteri. Terlalu sibuk dengan kerja, hingga mungkin sesekali terabai anak-anak dan rumahtangga. Rungutan isteri, boleh diterima sebagai tazkirah dari Dia untuk kebahagiaan dan masa depan rumahtangga.
Tetapi rungutan isteri yang mempertikaikan cinta sang suami… ia bukan rutin kebiasaan.
Rungutan itu mempersoalkan sesuatu yang paling kudus dan suci dalam ikatan hubungan di antara seorang lelaki dan perempuan bergelar suami dan isteri. 
PERANAN SUAMI
Sesuatu yang ada kalanya terbentang dalam bahasa yang tidak seimbang, tanggungjawab seorang suami ke atas isteri sebenarnya jauh lebih banyak berbanding dengan tugasan isteri terhadap suami. Namun ‘cuaca’ perbahasan hal ehwal rumahtangga di dalam gelanggang Islam, sering terkesan oleh kecenderungan dominasi kaum lelaki (male chauvinism), hingga yang banyak diperkatakan adalah kelemahan, kesilapan dan kesalahan kaum isteri.
Isteri yang sering dileter dalam ceramah-ceramah agama.
Ayat-ayat al-Quran dan Hadith yang bercakap tentang peranan isteri, yang sering dipetik di dalam ucapan dan tulisan.
Sedangkan, wahyu Allah dan petunjuk Nabawi sarat berisi dengan tugas serta tanggungjawab seorang lelaki bernama suami. Tanggungjawab itu bermula dari soal nafkah zahir dan batin, hinggalah kepada soal keperluan emosi isteri. Belaian sang suami, kata-kata yang baik, malah segala kebajikan harus mendahulukan isteri, juga anak-anak berbanding orang lain di luar daerah rumahtangga.
Oleh kerana tugas dan tanggungjawab yang begitu banyak terpikul di bahu seorang suami, dia harus menjadi seorang pencinta yang hebat.
Cinta yang mendorongnya bekerja.
Cinta yang merangsangnya berperanan.
Cinta yang menjadikan segala tugas dan tanggungjawab yang dilakukannya itu suatu keseronokan dan kepuasan dalam hidup.
Tanggungjawab tanpa cinta, adalah beban dan derita.
Tidak mungkin seorang suami mampu untuk menjalankan peranannya dengan baik sebagai seorang suami, jika dirinya bukan seorang pencinta yang hebat.
MASIH DIPERTIKAI
Justeru, andai seorang suami itu bersungguh-sungguh dalam peranan yang dimainkannya, mengapa isteri masih mempersoalkan cinta suami?
“Abang tidak cintakan saya sepenuh hati!’ mengapa begitu mudah seorang isteri melontarkan soalan sedemikian rupa?
Kembalilah kita kepada suatu amaran luar biasa seorang Nabi:
uritunnaara
“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!” [hadith riwayat al-Bukhari]
Ia bukan hadith yang memberi maksud bahawa wanita itu tempatnya di Neraka. Naudhubillah… 
Kita tidak ke Syurga atau Neraka kerana jantina.
Justeru hadith ini bukan kenyataan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang Syariatullah.
Sebaliknya ia merupakan indikasi baginda tentang sesuatu yang bersangkutan dengan Sunnatullah.
Tentang kecenderungan perlakuan kaum perempuan yang mudah mengkufuri nikmat berumahtangga.
Hadith yang menjawab tanda tanya sang suami itu tadi.
Suami berlaku baik kepada sang isteri sepanjang tahun. Namun tatkala ada sesuatu yang tidak kena dilakukan oleh seorang suami, mudah sekali seorang isteri berkata kepada suaminya, “aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”
Perlakuan seperti ini diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai berkait rapat dengan wanita, merujuk kepada kebiasaan dan mudahnya wanita terjerumus kepada tindak tanduk seperti ini. Ia harus diambil sebagai peringatan, bukan hukuman atau keputusan.
Perbuatan menafikan kebaikan suami digelar sebagai kufr al-’asyeer iaitu kufur terhadap nikmat di dalam rumahtangga. Ia dikategorikan oleh al-Imam al-Bukhari sebagai “Bab Kufur Kepada Suami, dan Kufur Yang Bukan Kufur” iaitu tajuk kepada hadith ini di dalam Kitab al-Imaan.
PELAJARAN KEDUA BELAH PIHAK
Hadith ini memberikan pelajaran yang penting kepada kedua belah pihak.
Bahawa bagi isteri, hindarkanlah diri dari mudah terjerumus kepada percakapan-percakapan yang membinasakan ini. 
Manakala bagi seorang suami, ketahuilah bahawa, tugasmu adalah untuk memberikan seratus peratus komitmen dan kasih sayang kepada isteri. Tetapi JANGAN sekali-kali kamu cuba mengejar seratus peratus tersebut. Beri 100% tetapi jangan kejar 100% itu kerana bahayanya bagi seorang suami terjerumus ke lembah kecenderungan seorang isteri untuk menafikan pemberian suaminya.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar akan meninggalkan perjuangan.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar telah mendurhakai serta mensesiakan ibu dan bapanya.
Jika suami yang memberi sepenuh cinta kepada isterinya itu masih cuba mengejar-ngejar pengiktirafan sang isteri, ketika itu mungkin seorang suami tanpa sedar telah mengabaikan anak-anak mereka sendiri.
Semuanya kerana terlalu mengikut desakan isteri yang terus menerus mahu suaminya memberikan seratus peratus cinta yang tidak pernah dikecapinya itu. Ketika inilah, isteri malah anak-anak boleh bertukar dari penyejuk mata dan hati, kepada musuh yang membinasakan:
64_14-i
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka…” [al-Thaghaabun 64: 14]
Namun, sebagai seorang pencinta yang benar dalam cinta dan kasih sayangnya kepada isteri, seorang suami harus ada keupayaan untuk bersabar, memaafkan, tidak marah dan mengampunkan kesalahan isteri serta anak-anak itu tadi, maka ketahuilah wahai suami, Allah juga Maha Pengampun lagi Maha Pengasih kepada engkau, isteri dan anak-anakmu.
64_14-ii
“… dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Taghaabun 64: 14)
MENCARI PELENGKAP 100%
Manakala bagi seorang isteri, sesungguhnya dirimu tidak akan sekali-kali dapat merasakan yang suamimu mencintaimu sepenuh hati, sehinggalah kamu hindarkan dirimu DARI KUFUR KEPADA SYUKUR. Jauhkan dirimu dari kufr al-asyeer, menafikan kebaikan-kebaikan yang telah suamimu berikan di atas cintanya kepadamu kerana Dia, sebaliknya belajarlah untuk bersyukur kerana syukur itulah yang mengganda-gandakan nikmat yang engkau terima.
14_7
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras” [Ibrahim 14: 7]
Sesungguhnya, perasaan bahawa suamimu tidak mencintaimu sepenuh hati, biar pun dia telah berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya terhadap dirimu, rasa kekurangan itu mungkin bukan datang dari kekurangan suamimu, tetapi kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak menambah nikmat-Nya berupa kasih sayang suami kepadamu untuk melengkapkan rasa kurang itu, kerana terjerumusnya dirimu ke lembah kufr al-’asyeer.  Sang isteri bukan mengkufuri Allah, tetapi kufur kepada nikmat Allah berupa kasih sayang suami kepada dirimu.
Demi untuk merasakan kesempurnaan pada cinta dan kasih itu, bersyukurlah… nescaya Allah akan tambah-tambahkan lagi nikmat-Nya. Suamimu tidak akan mampu memberikan ‘seratus peratusmu’ itu sehinggalah engkau mendapatnya dari Allah, Tuhan yang menggandakan nikmat sebagai balasan syukur seorang hamba.
Dan jika kita biarkan diri terbelenggu dalam kekufuran, ketahuilah bahawa sesungguhnya azab Allah itu amat pedih kesannya. Usahkan azab Akhirat yang tidak terbayang itu, pedihnya sampai ke dunia hingga Baiti Jannati yang kau dambakan selama ini, menjadi neraka dunia yang menyeksa lagi membinasa.
Sebagaimana suami amat mudah terheret ke Neraka kerana tidak memberi seratus peratus, begitulah juga isteri amat mudah terheret ke Neraka kerana meminta-minta seratus-peratus itu.
Bertaqwalah kepada Allah wahai suami yang tidak memberi seratus peratus.
Bertaqwalah kepada Allah wahai isteri yang meminta seratus peratus itu.

Masih Ada Cinta: Dua Sepasang Itu Masih Ada


“Yop, cepatlah pakai baju sekolah ni!”, saya meninggikan suara.
Terjejas juga mood pagi apabila kelam kabut menyiapkan anak-anak ke sekolah. Ummu Saif apatah lagi.
Menyiapkan makan pakai anak-anak. Menyiapkan makan pakai diri sendiri. Semuanya terkejar-kejar dengan hambatan masa dan kerja.
Itu pemandangan biasa di dalam mana-mana rumahtangga. Setiap pagi, ibu bapa kelam kabut menyiapkan anak-anak.
Selesai menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan harian, saya dan isteri sama-sama mengharungi lautan manusia dan kereta, menuju ke tempat kerja. Ummu Saif agak bertuah kerana rumah kami tidak jauh dari hospital tempat kerjanya.
Ada hari saya bekerja. Ada hari saya belajar. Menjadi pekerja dan pelajar dalam satu masa, sangat mencabar kesabaran diri. Ummu Saif juga begitu. Program Master Klinikal untuk menjadi doktor pakar ini sangat mencabar.
Bukan sahaja soal mengagihkan masa, tetapi juga kesegaran minda dan tubuh badan kerana syarahan boleh jadi leteran, jika kepala dan telinga mendengarnya dalam kepenatan.
Pulang ke rumah, keperluan makan minum anak-anak bersambung semula. Seperti hari-hari sebelumnya.
Memasak, mengemas rumah, memandikan anak-anak, solat, mengaji, kerja sekolah, gosok baju…. ahh, sudah tinggal nyawa-nyawa ikan sebelum mampu menyentuh buku pelajaran.
PENAT
”Ahh, penatnya kan Umi?”, saya menoleh kepada isteri.
Dia hanya tersenyum.
”Kenapa?”, saya bertanya.
”Salah ke senyum?”, tanya isteri saya.
”Bukanlah salah. Tetapi lain macam pula senyumnya!”, saya ketawa.
”Dulu abang… dulu Yang. Sekarang tinggal Abi dengan Umi”, kata isteri saya.
”Okay la tu. Atau kita nak tukar kepada Maknya dan Paknya?”, saya berseloroh.
Kami ketawa.
Tetapi dalam tawa, hati tetap berkata-kata.
Masa berlalu begitu pantas. Dari hari pertunangan melangkah ke jinjang perkahwinan, Belum puas berdua bercinta, rumah diseri dengan cahaya mata. Itu rezeki dari-Nya.
Anak satu… anak dua… anak tiga… begitulah kehidupan saya dan isteri berkembang, seiring dengan peredaran masa dan pertambahan usia.
Semasa baru berumahtangga, segalanya indah. Ia suatu peningkatan dan pencapaian dalam kehidupan. Keindahan itu berubah kepada suatu keadaan baru dengan ketibaan cahaya mata kurniaan Allah. Hanya Dia yang Tahu betapa hebatnya perasaan saya dan isteri semasa mendukung anak buat kali pertama.
”Kita kini bertiga!”, saya tersenyum.
Dari dua menjadi tiga, kemudian empat dan kini lima.
Ia suatu kebahagiaan. Sesuatu yang diimpikan oleh setiap insan yang melangkah ke alam perkahwinan.
Namun kadang-kadang kita terlupa.
Dalam sebuah rumahtangga itu bukan hanya ada Abi dan Umi, bukan hanya ada Paknya dan Maknya. Rumahtangga juga sentiasa ada dua insan yang masih seorang suami dan seorang isteri.
Kerana sibuk dengan rutin kehidupan seharian, kita tanpa sedar membiarkan identiti seorang suami dan isteri tenggelam.Suami melihat isteri sebagai ibu kepada anak-anak mereka. Isteri pula melihat suami sebagai ayah kepada cahaya mata tumpuan kasih dan cinta mereka. Pandangan suami dan pandangan isteri hilang tanpa sedar. Apa yang tinggal hanya pandangan ibu dan bapa melalui anak-anak yang memamah seluruh masa yang ada di dalam sebuah rumahtangga.
JEMU?
”Kenapa anta buat macam tu. Tak sayang isteri ke? Apa salah dia?”, saya bertanya kepada seorang rakan. Beliau memasang cinta kedua, di belakang isteri yang suatu ketika dahulu digila-gilakannya.
”Hmm.. entahlah!”, katanya lesu.
”Anta sudah tak sayangkan dia lagi ke?”, saya mencari kepastian.
”Tak juga. Tetapi… jemu barangkali!”, jawabnya dengan suara yang lemah.
Saya tergamam.
Alasannya senang sekali… isteri dan anak-anak yang sempurna itu tidak lagi mendatangkan bahagia, atas sebab yang mudah… JEMU.
”Hey… jemu anta kata? Habis dengan orang baru tu, anta tak akan jemu ke suatu hari nanti? Hari ini seronoklah, segala-galanya cinta. Tanggungjawab belum masuk dalam cerita”, saya panas hati.
Biar pun saya terganggu dengan kisah rakan yang seorang ini, tetapi saya sendiri mengambilnya sebagai peringatan.
Bahawa di dalam sebuah rumahtangga pasangan beranak tiga, ibu bapa dan anak-anak bukanlah segalanya. Selama mana sekali pun bahtera rumahtangga belayar, suami dan isteri tetap ada.
Jangan dibiarkan kehangatan itu padam oleh rutin harian yang demikian.
Hari ini, saya dan isteri mengambil cuti. Anak-anak tinggal di sekolah dan nursery hingga petang. Sepanjang hari ini, saya dan isteri keluar makan bersama, tanpa Saiful Islam, tanpa Naurah Sabihah dan tanpa Muhammad Imaduddin.
Semuanya kerana, dalam kehidupan kami sekeluarga masih ada suami dan isteri, dan hari ini adalah hari untuk kami berdua..
Kerana MASIH ADA CINTA…

Sebuah Kotak Cinta


Foto kredit: www.dadcando.com
“Sudah berkahwin nanti, senanglah hati. Tidak perlu runsing-runsing lagi” kata Ali.
“Baju pun tak payah basuh sendiri. Sudah ada washing machine pelbagai guna!” sampuk Amir.
Semua ketawa.
Berderai-derai, meraikan hari-hari akhir bujangnya Ali.
Biar pun semua rakan ketawa, hati Ali ada gelisahnya. Dia tahu, pandangannya terhadap Alia, bakal isterinya itu, jauh lebih mulia daripada gurauan rakan-rakannya. Dia berharap agar perkahwinannya itu nanti akan menjadi mahligai hidup. Bayangannya banyak dibantu oleh drama, novel, dan kisah mulut ke mulut yang didengari selama ini.
Malah sebahagiannya adalah bayangan ciptaannya sendiri.
Perkahwinan itu indah.
KENANGAN LALU
Peristiwa gurau senda Ali bersama rakan-rakannya di kedai mamak itu sudah lama berlalu. Sudah lima tahun Ali dan Alia mendirikan rumahtangga. Mereka juga sudah dikurniakan dua orang cahaya mata yang comel. Ia benar-benar seperti watak-watak mahligai hidup yang pernah dibayangkannya dahulu. Dua insan sebagai pasangan yang sempurna, sepasang cahaya mata, seorang lelaki seorang perempuan… mereka bahagia.
Sepatutnya.
Tetapi ada sesuatu yang tidak kena. Apabila Ali melepak bersama rakan-rakannya, beliau gembira. Ketawa. Walaupun ketawanya tidak sampai ke lubuk hati, namun cukuplah sesi itu menjadi ‘panadol’ yang melegakan. Akan tetapi, apabila Ali pulang ke rumah, serabutnya datang semula. Melihat Alia, dan merenung keletah anak-anak, ia tidak lagi menyejukkan mata. Ia memanaskan emosi.
Apakah mengahwini Alia merupakan tindakan yang betul?
Jika cinta di luar perkahwinan banyak halangan, mengapa selepas halangan-halangan itu hilang, perkahwinan tidak memberi bahagia?
HAKIKATNYA
Dalam perkahwinan tiada cinta.
Ia seperti sebuah kotak yang kosong.
Cinta hanya ada dalam diri manusia.
Maka manusialah yang mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta.
Apabila manusia mula berhenti mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta, ia kembali menjadi sebuah kotak yang kosong.
Hukum perubahan, antara kebahagian dan kesengsaraan sentiasa Allah letakkan pada firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Al-Ra'd 13: 11]
Perkahwinan, medan memberi.
Banyak mengambil kurang memberi, perkahwinan kembali menjadi kotak kosong, sebuah penjara!

Jumaat, 31 Disember 2010

Surat Cinta Buat isteriku- Ikhlas daripada suamimu??

Assalamualaikum...

Apa khabar isteriku yang tercinta...

Abang harap ayang sihat2 sahaja di sana..di rumah keluarga tercinta...

Abang tahu..abang tak layak menulis coretan ini..abang dah banyak buat silap..

Abang dah banyak menyakiti hati ayang...sehingga hubungan kita retak sedemikian rupa..

Abang masih ingat lagi janji setia kita dulu..yang kita terpaksa korbankan kerana ego abang yang tidak mahu mengalah..asyik ingin menang..menjaga ego lelaki..

Abang sedar..abang terlalu kejam..abang menyakitkan hati ayang..seorang isteri yang terbaik pernah abang ada.. yang memahami..menyayangi...tidak pernah marah..sentiasa menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada abang..

Oh..betapa abang menyesal..abang terlalu mengikut perasaan...abang sebenarnya hanya tidak mahu menujukkan kepada kawan2 abang..bahwa abang terlalau menyayangi ayang..abang tidak mahu di anggap lemah..tidak berguna..queen control..nasi kangkang atau seumpamanya..

Jadi Abang sedaya upaya cuba menunjukkan kelakian abang..betapa machonya abang..betapa abang tidak memerlukan ayang dalam hidup ini..bahawa kehadiran ayang tidak bermakna...

Abang tahu yang semua itu tidak akan berguna untuk ayang..ia hanya sia-sia sahaja..ayang tidak akan mempedulikan itu semua..ayang tetap bersama abang sentiasa...

Dengan kelembutan ayang itu..ayang akan memujuk abang di saat abang sedang marah...mengajak abang supaya kembali kepada ajaran islam yang sebenar...jangan terlalu mengikutkan ajakan syaitan...oh..betapa abang silap..abang menyesal..

Sekarang..abang terlalu rindukan ayang..ingin sekali berjumpa..bersua muka..tapi abang malu..apa kata ayang nanti??..apa kata keluarga ayang setelah apa yang abang lakukan kepada ayang???.. Dan lagi..apa kata teman sepermainan abang melihatkan abang sebegitu lemah???...Sebenarnya..abang dalam keadaan serba salah....oh..tuhan..berikanlah  hambamu in petunjuk ke arah jalan yang benar...

Abang ingin sekali merasa masakan ayang yang bagi abang paling sedap di dunia itu...Abang tahu..ayang tidak pandai memasak sebenarnya...namun demi membahagiakan abang..mengambil hati abang..memujuk abang..ayang gagahi juga...

Abang masih ingat..tangan ayang melecur ketika terkena minyak panas ketika memasak telur goreng...memasak ikan kering...ketika percubaan pertama untuk memasak dulu..
Tapi ayang tidak pernah mengadu..apa lagi memarahi malah menyumpah abang...Ayang cuba juga sehingga berjaya...ayang sememangnya tidak mengenal erti putus asa demi abang...
Oh..betapa bertuahnya abang memiliki ayang...

Sebenarnya..kalau di bandingkan dengan masakan di gerai2 mamak..mahupun warung2 murah...masakan ayang langsung tidak sedap..tapi abang tahu..Ayang telah mencurahkan sepenuh kasih sayang di dalam masakan ayang...ayang buat ikhlas untuk abang..

Sebab itu abang sentiasa mengatakan yang ianya sedap dan makan dengan berselera sekali..walaupun selepas itu abang kadang2 muntah2 kerana hampir keracunan...Tentu ayang terkejut kerena tidak mengetahui semua ini sebelum ini bukan??

Abang memahami....abang terlalu cintakan ayang..abang mahu ayang gembira dan sentiasa bersemangat mencuba resepi baru.. Lagipun..ketika bercinta..kicap yang masin pun akan berasa manis kan?..Bukankah kita saling menyayangi ketika itu???..

Sepertimana ayang mencurahkan sepenuh perhatian..usaha dan tenaga untuk memasak untuk abang..abang juga membuat perkara yang sama untuk menghargai ayang..abang jarang makan di luar.. Untuk apa???.. Bukankah abang sudah ada isteri yang setia memasak untuk abang selama ini??..

Lagipun...tiada masakan di dunia ini mampu menandingi air tangan penuh kasih sayang seorang isteri...Ia jauh lebih baik dari air tangan mamak yang abang pun tidak kenal bukan??...
Lagipun abang percaya yang air tangan ayang itu jauh lebih suci..tulus..ikhlas dan bersih berbanding tangan..sudu mahupun pinggan mangkuk di warung2 mahupun kedai2 mamak..

Hmm...sememangnya...abang tidak silap membuat pilihan..tak mungkin ada suami yang sanggup menukar semua itu dengan chef yang terbaik di seluruh dunia pun..apalagi mamak yang mungkin sekali mandi seminggu sekali itu..Bukan niat abang merendahkan mereka..tetapi mungkin itu kenyataannya...entah dari mana mereka datang..kita pun mungkin tidak pasti bukan??...Bagi abang..bagi lah apa pun..siapa pun..ayang still the best...

Namun itu cerita dulu..Sekarang ayang dah jauh dari abang..abang terasa seperti tidak terdaya lagi untuk mengejar cinta ayang...mencari ayang..walaupun hati abang ingin sekali bertemu dan memohon kemaafan dari ayang...Abang malu...abang ni tidak berguna...abang tidak tahu menghargai anugerah tuhan kepada abang...abang sombong...ego..degil..bodoh..pendek kata..abang penuh dengan sifat mazmumah....

Abang sekarang menyesal..abang tahu yang ia hampir tidak berguna lagi..pintu hati ayang tentu sudah tertutup untuk insan yang mungkin tidak layak bergelar manusia seperti abang ni..abang seumpama binatang... abang sedar..abang salah..abang telah membuatkan ayang seperti hamba buat seketika waktu..sehingga ayang seringkali menangis di tempat tidur... 
Tapi..masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang solehah....
Oh..tuhan..ampunkanlah hambamu yang telah melakukan banyak perkara yang kejam ini..

Sekarang..jikalau masih berkesampatan..abang ingin lagi menaruh sedikit harapan untuk menemui ayang...mengumpulkan kembali sisa-sisa cinta kita...mengumpulkan kembali saat2 bahagia kita...Itupun sekiranya ayang ingin memaafkan abang..

Kalaupun kita tidak lagi di takdirkan bersama..
Izinkanlah abang mencium tangan ayang..memeluk ayang ...memohon kemaafan serta keampunan buat kesekian kalinya...Abang tidak mahu terus hidup di cengkam perasaan bersalah yang sentiasa menghantui hidup abang..Tidak boleh terus di permain2 kan rasa rindu yang sentiasa mencengkam dada abang..abang mahukan ketengangan...Dan abang tahu..hanya ayang sahaja mampu meberikan semua itu....

Hanya satu yang abang mohon..sekiranya ayang bencikan abang sekalipun..pertimbangkanlah permohonan abang ini...hanya ini sahaja yang abang minta....berikan abang kesempatan untuk melakukannya kebaikan pada ayang buat kali terakhir sebelum maut menjemput abang dari dunia yang fana ini...
Ya..abang sedar..usia abang makin meningkat...dan abang tahu..masa mungkin tidak menyebelahi abang...Abang tidak mahu meninggalkan dunia ini dalam keadaaan penuh noda dan dosa...Maafkanlah abang...dan perkenankanlah permintaan ini...

Walau apa pun...abang masih mencintai dirimu...


Sekian,

Salam sayang seribu kemaafan...

Daripada lelaki yang pernah mencintaimu dan masih lagi begitu..
Selagi masih wujud langit dan bumi..
Selagi hidup di sinari sinar mentari...
Selagi putaran hayat tiada terhenti..

Assalamualakum...