Isnin, 25 April 2011

Masih Ada Cinta: Dua Sepasang Itu Masih Ada


“Yop, cepatlah pakai baju sekolah ni!”, saya meninggikan suara.
Terjejas juga mood pagi apabila kelam kabut menyiapkan anak-anak ke sekolah. Ummu Saif apatah lagi.
Menyiapkan makan pakai anak-anak. Menyiapkan makan pakai diri sendiri. Semuanya terkejar-kejar dengan hambatan masa dan kerja.
Itu pemandangan biasa di dalam mana-mana rumahtangga. Setiap pagi, ibu bapa kelam kabut menyiapkan anak-anak.
Selesai menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan harian, saya dan isteri sama-sama mengharungi lautan manusia dan kereta, menuju ke tempat kerja. Ummu Saif agak bertuah kerana rumah kami tidak jauh dari hospital tempat kerjanya.
Ada hari saya bekerja. Ada hari saya belajar. Menjadi pekerja dan pelajar dalam satu masa, sangat mencabar kesabaran diri. Ummu Saif juga begitu. Program Master Klinikal untuk menjadi doktor pakar ini sangat mencabar.
Bukan sahaja soal mengagihkan masa, tetapi juga kesegaran minda dan tubuh badan kerana syarahan boleh jadi leteran, jika kepala dan telinga mendengarnya dalam kepenatan.
Pulang ke rumah, keperluan makan minum anak-anak bersambung semula. Seperti hari-hari sebelumnya.
Memasak, mengemas rumah, memandikan anak-anak, solat, mengaji, kerja sekolah, gosok baju…. ahh, sudah tinggal nyawa-nyawa ikan sebelum mampu menyentuh buku pelajaran.
PENAT
”Ahh, penatnya kan Umi?”, saya menoleh kepada isteri.
Dia hanya tersenyum.
”Kenapa?”, saya bertanya.
”Salah ke senyum?”, tanya isteri saya.
”Bukanlah salah. Tetapi lain macam pula senyumnya!”, saya ketawa.
”Dulu abang… dulu Yang. Sekarang tinggal Abi dengan Umi”, kata isteri saya.
”Okay la tu. Atau kita nak tukar kepada Maknya dan Paknya?”, saya berseloroh.
Kami ketawa.
Tetapi dalam tawa, hati tetap berkata-kata.
Masa berlalu begitu pantas. Dari hari pertunangan melangkah ke jinjang perkahwinan, Belum puas berdua bercinta, rumah diseri dengan cahaya mata. Itu rezeki dari-Nya.
Anak satu… anak dua… anak tiga… begitulah kehidupan saya dan isteri berkembang, seiring dengan peredaran masa dan pertambahan usia.
Semasa baru berumahtangga, segalanya indah. Ia suatu peningkatan dan pencapaian dalam kehidupan. Keindahan itu berubah kepada suatu keadaan baru dengan ketibaan cahaya mata kurniaan Allah. Hanya Dia yang Tahu betapa hebatnya perasaan saya dan isteri semasa mendukung anak buat kali pertama.
”Kita kini bertiga!”, saya tersenyum.
Dari dua menjadi tiga, kemudian empat dan kini lima.
Ia suatu kebahagiaan. Sesuatu yang diimpikan oleh setiap insan yang melangkah ke alam perkahwinan.
Namun kadang-kadang kita terlupa.
Dalam sebuah rumahtangga itu bukan hanya ada Abi dan Umi, bukan hanya ada Paknya dan Maknya. Rumahtangga juga sentiasa ada dua insan yang masih seorang suami dan seorang isteri.
Kerana sibuk dengan rutin kehidupan seharian, kita tanpa sedar membiarkan identiti seorang suami dan isteri tenggelam.Suami melihat isteri sebagai ibu kepada anak-anak mereka. Isteri pula melihat suami sebagai ayah kepada cahaya mata tumpuan kasih dan cinta mereka. Pandangan suami dan pandangan isteri hilang tanpa sedar. Apa yang tinggal hanya pandangan ibu dan bapa melalui anak-anak yang memamah seluruh masa yang ada di dalam sebuah rumahtangga.
JEMU?
”Kenapa anta buat macam tu. Tak sayang isteri ke? Apa salah dia?”, saya bertanya kepada seorang rakan. Beliau memasang cinta kedua, di belakang isteri yang suatu ketika dahulu digila-gilakannya.
”Hmm.. entahlah!”, katanya lesu.
”Anta sudah tak sayangkan dia lagi ke?”, saya mencari kepastian.
”Tak juga. Tetapi… jemu barangkali!”, jawabnya dengan suara yang lemah.
Saya tergamam.
Alasannya senang sekali… isteri dan anak-anak yang sempurna itu tidak lagi mendatangkan bahagia, atas sebab yang mudah… JEMU.
”Hey… jemu anta kata? Habis dengan orang baru tu, anta tak akan jemu ke suatu hari nanti? Hari ini seronoklah, segala-galanya cinta. Tanggungjawab belum masuk dalam cerita”, saya panas hati.
Biar pun saya terganggu dengan kisah rakan yang seorang ini, tetapi saya sendiri mengambilnya sebagai peringatan.
Bahawa di dalam sebuah rumahtangga pasangan beranak tiga, ibu bapa dan anak-anak bukanlah segalanya. Selama mana sekali pun bahtera rumahtangga belayar, suami dan isteri tetap ada.
Jangan dibiarkan kehangatan itu padam oleh rutin harian yang demikian.
Hari ini, saya dan isteri mengambil cuti. Anak-anak tinggal di sekolah dan nursery hingga petang. Sepanjang hari ini, saya dan isteri keluar makan bersama, tanpa Saiful Islam, tanpa Naurah Sabihah dan tanpa Muhammad Imaduddin.
Semuanya kerana, dalam kehidupan kami sekeluarga masih ada suami dan isteri, dan hari ini adalah hari untuk kami berdua..
Kerana MASIH ADA CINTA…

Sebuah Kotak Cinta


Foto kredit: www.dadcando.com
“Sudah berkahwin nanti, senanglah hati. Tidak perlu runsing-runsing lagi” kata Ali.
“Baju pun tak payah basuh sendiri. Sudah ada washing machine pelbagai guna!” sampuk Amir.
Semua ketawa.
Berderai-derai, meraikan hari-hari akhir bujangnya Ali.
Biar pun semua rakan ketawa, hati Ali ada gelisahnya. Dia tahu, pandangannya terhadap Alia, bakal isterinya itu, jauh lebih mulia daripada gurauan rakan-rakannya. Dia berharap agar perkahwinannya itu nanti akan menjadi mahligai hidup. Bayangannya banyak dibantu oleh drama, novel, dan kisah mulut ke mulut yang didengari selama ini.
Malah sebahagiannya adalah bayangan ciptaannya sendiri.
Perkahwinan itu indah.
KENANGAN LALU
Peristiwa gurau senda Ali bersama rakan-rakannya di kedai mamak itu sudah lama berlalu. Sudah lima tahun Ali dan Alia mendirikan rumahtangga. Mereka juga sudah dikurniakan dua orang cahaya mata yang comel. Ia benar-benar seperti watak-watak mahligai hidup yang pernah dibayangkannya dahulu. Dua insan sebagai pasangan yang sempurna, sepasang cahaya mata, seorang lelaki seorang perempuan… mereka bahagia.
Sepatutnya.
Tetapi ada sesuatu yang tidak kena. Apabila Ali melepak bersama rakan-rakannya, beliau gembira. Ketawa. Walaupun ketawanya tidak sampai ke lubuk hati, namun cukuplah sesi itu menjadi ‘panadol’ yang melegakan. Akan tetapi, apabila Ali pulang ke rumah, serabutnya datang semula. Melihat Alia, dan merenung keletah anak-anak, ia tidak lagi menyejukkan mata. Ia memanaskan emosi.
Apakah mengahwini Alia merupakan tindakan yang betul?
Jika cinta di luar perkahwinan banyak halangan, mengapa selepas halangan-halangan itu hilang, perkahwinan tidak memberi bahagia?
HAKIKATNYA
Dalam perkahwinan tiada cinta.
Ia seperti sebuah kotak yang kosong.
Cinta hanya ada dalam diri manusia.
Maka manusialah yang mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta.
Apabila manusia mula berhenti mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta, ia kembali menjadi sebuah kotak yang kosong.
Hukum perubahan, antara kebahagian dan kesengsaraan sentiasa Allah letakkan pada firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Al-Ra'd 13: 11]
Perkahwinan, medan memberi.
Banyak mengambil kurang memberi, perkahwinan kembali menjadi kotak kosong, sebuah penjara!

Jumaat, 31 Disember 2010

Surat Cinta Buat isteriku- Ikhlas daripada suamimu??

Assalamualaikum...

Apa khabar isteriku yang tercinta...

Abang harap ayang sihat2 sahaja di sana..di rumah keluarga tercinta...

Abang tahu..abang tak layak menulis coretan ini..abang dah banyak buat silap..

Abang dah banyak menyakiti hati ayang...sehingga hubungan kita retak sedemikian rupa..

Abang masih ingat lagi janji setia kita dulu..yang kita terpaksa korbankan kerana ego abang yang tidak mahu mengalah..asyik ingin menang..menjaga ego lelaki..

Abang sedar..abang terlalu kejam..abang menyakitkan hati ayang..seorang isteri yang terbaik pernah abang ada.. yang memahami..menyayangi...tidak pernah marah..sentiasa menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada abang..

Oh..betapa abang menyesal..abang terlalu mengikut perasaan...abang sebenarnya hanya tidak mahu menujukkan kepada kawan2 abang..bahwa abang terlalau menyayangi ayang..abang tidak mahu di anggap lemah..tidak berguna..queen control..nasi kangkang atau seumpamanya..

Jadi Abang sedaya upaya cuba menunjukkan kelakian abang..betapa machonya abang..betapa abang tidak memerlukan ayang dalam hidup ini..bahawa kehadiran ayang tidak bermakna...

Abang tahu yang semua itu tidak akan berguna untuk ayang..ia hanya sia-sia sahaja..ayang tidak akan mempedulikan itu semua..ayang tetap bersama abang sentiasa...

Dengan kelembutan ayang itu..ayang akan memujuk abang di saat abang sedang marah...mengajak abang supaya kembali kepada ajaran islam yang sebenar...jangan terlalu mengikutkan ajakan syaitan...oh..betapa abang silap..abang menyesal..

Sekarang..abang terlalu rindukan ayang..ingin sekali berjumpa..bersua muka..tapi abang malu..apa kata ayang nanti??..apa kata keluarga ayang setelah apa yang abang lakukan kepada ayang???.. Dan lagi..apa kata teman sepermainan abang melihatkan abang sebegitu lemah???...Sebenarnya..abang dalam keadaan serba salah....oh..tuhan..berikanlah  hambamu in petunjuk ke arah jalan yang benar...

Abang ingin sekali merasa masakan ayang yang bagi abang paling sedap di dunia itu...Abang tahu..ayang tidak pandai memasak sebenarnya...namun demi membahagiakan abang..mengambil hati abang..memujuk abang..ayang gagahi juga...

Abang masih ingat..tangan ayang melecur ketika terkena minyak panas ketika memasak telur goreng...memasak ikan kering...ketika percubaan pertama untuk memasak dulu..
Tapi ayang tidak pernah mengadu..apa lagi memarahi malah menyumpah abang...Ayang cuba juga sehingga berjaya...ayang sememangnya tidak mengenal erti putus asa demi abang...
Oh..betapa bertuahnya abang memiliki ayang...

Sebenarnya..kalau di bandingkan dengan masakan di gerai2 mamak..mahupun warung2 murah...masakan ayang langsung tidak sedap..tapi abang tahu..Ayang telah mencurahkan sepenuh kasih sayang di dalam masakan ayang...ayang buat ikhlas untuk abang..

Sebab itu abang sentiasa mengatakan yang ianya sedap dan makan dengan berselera sekali..walaupun selepas itu abang kadang2 muntah2 kerana hampir keracunan...Tentu ayang terkejut kerena tidak mengetahui semua ini sebelum ini bukan??

Abang memahami....abang terlalu cintakan ayang..abang mahu ayang gembira dan sentiasa bersemangat mencuba resepi baru.. Lagipun..ketika bercinta..kicap yang masin pun akan berasa manis kan?..Bukankah kita saling menyayangi ketika itu???..

Sepertimana ayang mencurahkan sepenuh perhatian..usaha dan tenaga untuk memasak untuk abang..abang juga membuat perkara yang sama untuk menghargai ayang..abang jarang makan di luar.. Untuk apa???.. Bukankah abang sudah ada isteri yang setia memasak untuk abang selama ini??..

Lagipun...tiada masakan di dunia ini mampu menandingi air tangan penuh kasih sayang seorang isteri...Ia jauh lebih baik dari air tangan mamak yang abang pun tidak kenal bukan??...
Lagipun abang percaya yang air tangan ayang itu jauh lebih suci..tulus..ikhlas dan bersih berbanding tangan..sudu mahupun pinggan mangkuk di warung2 mahupun kedai2 mamak..

Hmm...sememangnya...abang tidak silap membuat pilihan..tak mungkin ada suami yang sanggup menukar semua itu dengan chef yang terbaik di seluruh dunia pun..apalagi mamak yang mungkin sekali mandi seminggu sekali itu..Bukan niat abang merendahkan mereka..tetapi mungkin itu kenyataannya...entah dari mana mereka datang..kita pun mungkin tidak pasti bukan??...Bagi abang..bagi lah apa pun..siapa pun..ayang still the best...

Namun itu cerita dulu..Sekarang ayang dah jauh dari abang..abang terasa seperti tidak terdaya lagi untuk mengejar cinta ayang...mencari ayang..walaupun hati abang ingin sekali bertemu dan memohon kemaafan dari ayang...Abang malu...abang ni tidak berguna...abang tidak tahu menghargai anugerah tuhan kepada abang...abang sombong...ego..degil..bodoh..pendek kata..abang penuh dengan sifat mazmumah....

Abang sekarang menyesal..abang tahu yang ia hampir tidak berguna lagi..pintu hati ayang tentu sudah tertutup untuk insan yang mungkin tidak layak bergelar manusia seperti abang ni..abang seumpama binatang... abang sedar..abang salah..abang telah membuatkan ayang seperti hamba buat seketika waktu..sehingga ayang seringkali menangis di tempat tidur... 
Tapi..masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang solehah....
Oh..tuhan..ampunkanlah hambamu yang telah melakukan banyak perkara yang kejam ini..

Sekarang..jikalau masih berkesampatan..abang ingin lagi menaruh sedikit harapan untuk menemui ayang...mengumpulkan kembali sisa-sisa cinta kita...mengumpulkan kembali saat2 bahagia kita...Itupun sekiranya ayang ingin memaafkan abang..

Kalaupun kita tidak lagi di takdirkan bersama..
Izinkanlah abang mencium tangan ayang..memeluk ayang ...memohon kemaafan serta keampunan buat kesekian kalinya...Abang tidak mahu terus hidup di cengkam perasaan bersalah yang sentiasa menghantui hidup abang..Tidak boleh terus di permain2 kan rasa rindu yang sentiasa mencengkam dada abang..abang mahukan ketengangan...Dan abang tahu..hanya ayang sahaja mampu meberikan semua itu....

Hanya satu yang abang mohon..sekiranya ayang bencikan abang sekalipun..pertimbangkanlah permohonan abang ini...hanya ini sahaja yang abang minta....berikan abang kesempatan untuk melakukannya kebaikan pada ayang buat kali terakhir sebelum maut menjemput abang dari dunia yang fana ini...
Ya..abang sedar..usia abang makin meningkat...dan abang tahu..masa mungkin tidak menyebelahi abang...Abang tidak mahu meninggalkan dunia ini dalam keadaaan penuh noda dan dosa...Maafkanlah abang...dan perkenankanlah permintaan ini...

Walau apa pun...abang masih mencintai dirimu...


Sekian,

Salam sayang seribu kemaafan...

Daripada lelaki yang pernah mencintaimu dan masih lagi begitu..
Selagi masih wujud langit dan bumi..
Selagi hidup di sinari sinar mentari...
Selagi putaran hayat tiada terhenti..

Assalamualakum...

Selasa, 14 Disember 2010

Mari Aku Khabarkan Tentang Cinta

Aku khabarkan tentang cinta kepada kalian dan juga untuk tatapan diriku. Cinta yang memang tidak pernah putus-putus. Lantas kebahagian, cinta diraih lalu impian disulam bersemadi. Tidak akan terputus dari susunan  kata yang terungkap indah lalu diikat rapi dengan terbuktinya melalui perlakuan sang pencinta itu sendiri.
 
Keunikan Cinta.

Dengan cinta, suka boleh menjadi duka. Cinta juga, cuka boleh menjadi madu yang manis. Dengan cinta, impian bersama cuba digapai. Keburukan ternyata dilihat menjadi  amat menawan. Segala yang terungkap pada setiap kata-kata yang manis. Lalu kita membicarakan tentang cinta. Di sini, didefinisikan makna cinta dan dikatakan setiap helaian kamus anda akan menjumpai makna disebaliknya. Setiap jarak dari jasadmu kau akan jumpa pengertiannya. Bila kita berbicara tentang cinta seolah-olah kita arif bagai kita yang mencipta segala cinta yang tercipta. Diungkapkan madah-madah cinta seperti kita sang pujangga  yang hebat?

Apakah cinta itu pada hubungan Adam dan Hawa dan kisah-kisah manusia lantas hangat dibicarakan dengan dengan penuh kasih kononnya disaluti bait-bait ilmunya. Aku tidak mampu menjelaskan apa itu cinta tapi aku cuba fahami melalui jelas sifatnya cinta itu sendiri. Analogi cinta sebagaimana Iman, tersembunyi dalam hati terbuktinya pada setiap tindakan dan kata. Pada setiap langkah yang dipacakkan dan nafas yang dihembus. Iman yang dipahatkan bersulamkan takwa dan hati seorang hamba.

Cinta Dipahat pada Jalur Pengorbanan.

Sifatnya terukir pada sebuah pengorbanan. Pengorbanan yang dilihat tidak ada jelas bezanya untuk sesiapa pun. Jadi cinta itu sebuah pengorbanan lalu Juliet dan Romeo terkorban. Majnun menjadi tidak waras dan gila kerana Laila. Cinta si ibu kepada anaknya tidak terhingga untuk membesarkan anaknya dan seorang ayah sanggup berhujan berpanas memberi kehidupan yang selesa kepada sebuah keluarga.

Pada cinta itu wujudnya sebuah kenikmatan yang agung. Kenikmatan Yusuf a.s. memilih kehidupan di penjara kerana dilihatnya nikmat sebenar di sana. Dan kerana cinta Rasul diutuskan dan diwahyukan setiap kata-katanya daripadanya diambil untuk panduan dan bekalan kita semua. Oleh sebab nikmat jugalah pejuang teragung Muhammad s.a.w. tidak  pernah berhenti berjuang.

Bicarakan tentang Cinta.

Maka ada bezanya antara cinta sang jejaka dan Syed Qutb. Aku cuba jelaskan bezanya di sini. Apabila kau baca lihat makna cinta, lantas kau lontarkan hanya ada kepada seorang manusia. Dan aku jarang mendengar tentang cinta teragung yang pernah dunia dan isinya melihatnya .Cinta yang dahsyat dipamerkan sebagai bukit kecintaan hakiki kepada Penciptanya yang Agung. 

Aku punya pendapat dan pandangan sendiri. Bagiku cinta itu bezanya pada dasarnya. Pada apa yang kita cuba usaha untuk pegangi. Sebagai contoh Cinta Romeo dan Juliet dipegang pada dasar manusiawi. Maka matinya Romeo, matilah Juliet. Begitu juga cinta Majnun dan Laila, ditolaknya Laila cinta si Majnun, gilalah Majnun.

Dilihat pada situasi yang lain di mana cinta itu dihamparkan. Pada segenap keindahan noktah Penciptanya. Pada Dia Pemilik dan Pencipta cinta. Pada Dia yang menganugerahkan setiap rasa dan pada naluri. Maka Syed Qutb berdiri berani berhadapan ke tali gantung kepada Tuhannya. Dan kerana cinta itu pada kuncinya adalah satu, hanya kepada Allah. Yang  tidak terjangkau oleh masa. Dia ingin berikan hadiah yang paling terbaik kepada Kekasihnya. Hatta, nyawa, jasad, hartanya, kekuatannya dan segala apa yang dimiliki olehnya adalah pinjaman daripada Pencipta. Kekasihnya yang hakiki dan cinta abadi. Letakkan cinta pada tempat yang seadil-adilnya.

Kembali aku kepada nilai kehidupan yang kujalani, lantas aku bertanya adakah semuanya kulakukan bagai seperti apa aku katakan? Adakah selama ini benar kuletakkan cinta yang agung pada Tuhanku dan Nabiku?

Aku juga tidak membantah apatah lagi menentang kecintaan kalian pada manusia kerana aku juga punya cinta itu pada hatiku. Akan tetapi aku mahu aku dan kalian juga meletakkan cinta pada tempat yang benar dan hak. Itulah yang selayaknya kerana aku tahu cinta yang wujud dalam diri adalah daripada cinta Penciptanya jua. Cinta yang kekal selama-lamanya adalah cinta dari Dia. Dia Maha Penyayang dan lagi Maha Mengasihani.

Khamis, 9 Disember 2010

Kisah Cinta Facebook

Kehadapan suamiku yang aku cintai kerana Allah... hari ni genap setahun aku mengenali dirimu... walaupun melalui Facebook, kita mesra... seolah-olah sudah lama mengenali... rupa-rupanya kamu adalah senior di sekolah dulu...

Mungkin kita pernah bersua, berselisih jalan, beratur di barisan yang sama 10 tahun lepas... namun, siapa sangka siapa menduga... perkenalan yang tidak pernah terjadi 10 tahun lepas... menemukan jodoh kita...

Alhamdulillah... kita ditemukan dengan kemajuan teknologi... melalui Facebook... di bulan syawal... perkenalan yang tidak dirancang...

"Salam... pernah ke kita bersua? Kenapa awak add saya?"

Aku menjawab : "Gerak hati?? Tak tahu nak kata... saya masih di Selangor... awak ni senior sekolah dulu kan?"

"Saya kerja dengan *****. Macam susuh je nak terangkan. Boleh faham ke? Hehe. Jadi, kena panggil abang senior la ni?"

Kami bertukar cerita... dalam 24jam... Kami telah bertukar nombor telefon; berborak dan mendengar suara.
Hanya selepas 3 hari berkenalan, kami berjumpa.

26 September 2009 tarikh keramat.

Di bawah sepohon pokok besar dihadapan rumah sorang kenalan....
Aku bersama kereta aku menunggu penuh debaran disitu... menunggu dia keluar...
Aku gementar... takut juga kalau diperdaya... pengalaman lalu mengajar aku berwaspada...
Soalan pertama yang aku tanya, "mana lesen?"
Maka dia pun menunjukkan lesen international nya( dia baru pulang dari belajar dan bekerja di England)... aku dengan selamba bertanya...
"Mana lesennya? Ini kad pengenalan antarabangsa.."
Dia menjawab dengan yakin, "ada dalam chip tu."
Tidak ku sangka itu lah pertanyaan pertama yang tidak begitu romantis... di pertemuan pertama... dia dengan tenang memasuki kereta dan memanduku ke kedai makan berhampiran...
Kami duduk dan bersembang.. sambil aku minum milo dan dia bersama roti canai kegemarannya... selesai disitu... aku membawanya pulang ke rumah untuk dikenalkan kepada keluarga... dia berborak sambil menonton perlawanan bola bersama abang-abangku...
Tanggal 5 Disember 2009, aku dirisik... kemudian kami bertunang pada 1 Januari 2010 dan alhamdulillah bernikah pada 13 Jun 2010...

Segalanya pantas... namun aku bersyukur dipertemukan jodoh dengan dia...
Kini aku bergelar isterinya... akan aku abadikan segalanya untuk suamiku...
Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada."

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."

Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu."

Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya.
Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya.

Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

Semoga perkenalan di Facebook kekal hingga ke syurga.. aku berdoa kepada-Mu ya Allah.. "kekalkan jodoh ku bersama suamiku hingga ke syurga... jadikan lah aku bidadari suami ku di akhirat nanti..."
Ikhlas dari,
Isteri yang menyayangimu...

Selasa, 7 Disember 2010

Kisah Cintaku

Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit. Aaah.. kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya. Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang telah Ia sajikan .aku duduk dan terasa kehadiranNya di sisiku.


Dia bertanya kepadaku, “Adakah kamu mencintai Aku?” Aku menjawab, “Sudah tentu! Engkaulah Penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu.” Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu akan mencitaiKu?” Aku tergamam seketika. Aku lihat tangan,kaki dan seluruh anggotaku; aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa anggotaku ini yang selama ini tidak kusedari kepentingannya.

Kemudian aku jawab, “Tentunya ia amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap mencintaiMu.” Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?” Bagaimana mungkin bagiku untuk mencintai sesuatu yang di dunia ini yang tak mampu aku lihat? Kemudian aku berfikir...ramai orang yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lantas aku menjawab, “Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikina rupa, namun begitu aku akan tetap menyintaimu Ya Allah.”

Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap mendengar kepada kata-kataKu?” Bagaimana mungkin bagiku mendengar jika aku pekak? Kemudian akutersedar bahawa mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga; tetapimenggunakan hati. Aku jawab, “Walaupun takdir itu amat berat bagiku, namun aku akan tetap menyintaiMu.”

Dia menyambung lagi persoalanNya, “Jika kamu ditakdirkan bisu adakah kamu akan terus memujiKu?” Aku tertanya lagi, bagaimana aku boleh memuji tanpa suara? Aku terfikir kemudian yang Allah mahu kitame mujiNya dari dalam hati dan jiwa kita; tidak penting bagaimanakah bunyinya. Kemudian aku menjawab, “Sungguhpun aku tidak mampu untuk mambunyikan pujian bagiMu, aku akan tetap memujiMu.” Dan...

Dia terus betanya lagi, “Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?” dengan nada yang tegas dan penuh keberanian. Aku jawab dengan yakin, “Ya, benar Tuhanku, aku menyintaimu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar!” Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab soalanNya tadi, tetapi Dia terus bertanyakan lagi, “Kalau begitu kenapa kamu masih melakukan dosa?” Aku jawab, “Kerana aku cuma manusia bisa yang selalu lalai; aku tidak sempurna...aku bukan maksum.” “Kalau begitu, kenapa ketika kamu senang dan gembira...kamu lupakanKu; kamu lari jauh daripadaKu? Dan kenapa ketika kamu susah dan mahukan bantuan...kamu terus ingat kepada Aku; kamu datang dekat dan merayu kepada Aku?”

Aku tidak mampu berkata-kata. Yang kusedari...titisan panas turun membasahi pipiku. Dia sambung lagi, “Mengapa kamu buat begini...kadang-kadang sujud menyembahKu, dan kemudian membelakangiKu; tidak pedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya ketika kamu nengingatiKu? Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu tidak setia kepadaKu?” Kurasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. “Mengapa kamu malu kepadaKu? Mengapa kamu tidak mahu menyebarkan suruhanKu? Mengapa ketika kamu dizalimi kamu adukan kepada yang lain sedang Aku sedia mendengar segala rintihanmu? Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberimu peluang untuk berkhidmat di jalanKu?”

Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberimu peluang untuk berkhidmat di jalanKu?

Ku gagahi bibirku untuk mengucapkan patah-patah perkataan bagi menjawab segala soalan yang bertubi-tubi diajukan kepadaku. Tetapi aku tidak punyai jawapan bagi persoalan-persoalan tadi. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Otakku ligat mencari jawapan... atau alasan... namun tiada apa yang kutemui sebagai jawapan. Dia berkata-kata lagi... “Kamu diberikan sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu keistimewaan dan kelebihan berbanding orang lain untuk kamu berjuang di jalanKu, tetapi kamu tetap berpaling dari jalanKu. Aku tunjukkan kepadamu kata-kataKu sebagai panduan kamu dalam hidup ini, tetapi kamu tidak mahu mempelajari atau menghayatinya.

Acap kali Aku berkata-kata kepadamu, tetapi kamu berpaling daripada melihatnya. Aku turunkan kepada kamu pesuruhKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku dengar segala permintaan dan rayuanmu kepadaKu... dan semuanya telah Aku perkenankan dengan pelbagai cara.”

SambungNya lagi, “Kini... adakah kamu menyintaiKu?” Aku tidak mampu menjawabnya lagi. Bagaimana harus aku jawab persoalan ini.. Dalam tak sedar, aku malu dengan segala apa yang telah aku lakukan selama ini. Aku tidak lagi punya alasan bagi menyelamatkan diriku. Apa yang boleh aku jawab bagi persoalan itu? Ketika hatiku berteriak menangis, dan bercucuran airmata mengalir turun di kedua-dua belah pipiku, aku merintih, “Oh Tuhanku... ampunkanlah segala dosaku. Aku tidak layak menjadi hambaMu Ya Allah...” ..Kemudian Dia menjawab, “Sifatku pengampun...barangsiapa yang memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkannya. Dan Aku ampunkan kamu wahai hambaKu.”

Aku bertanya kepadaNya, “Mengapa Engkau tetap mengampunkanku sungguhpun aku melakukan kesalahan berulangkali dan memohon ampun berulangkali? Sampai begitu sekalikah cintaMu terhadapku?” Dia menjawab “Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali tidak akan mengabaikanmu. Apabila kamu menangis aku akan bersimpati kepadamu dan mendengar segala rintihanmu. Apabila kamu melonjak kegirangan Aku akan turut gembira dengan kegembiraanmu. Apabila kamu berasa gundah dan kesepian, Aku akan memberikanmu semangat. Apabila kamu jatuh Aku akan membangkitkanmu. Apabila kamu keletihan Aku akan membantumu. Aku akan tetap bersama-samamu hinggalah ke hari yang akhir dan Aku akan menyayangimu selama-lamanya.”

Seingat aku... aku tidak pernah menangis sebegini. Aku sendiri tidak mengerti kenapa hatiku ini begitu keras; tidak mampu menangis menyesali segala dosaku selama ini. Dan..buat kali pertamanya dalam hidupku ini... aku benar-benar solat dalam ertikata yang sebenar. Ya Allah..betapa indahnya dapat merasakan kehadiran-Mu di setiap waktu..

10 Nasihat Untuk Orang Bercinta

Berikut adalah nasihat-nasihat berguna untuk orang-orang yang bercinta:

1. Janganlah kau membiarkan kemanisan bercinta dihirup sebelum engkau berkahwin dengan 'si dia'.

2. Bercintalah kau dengan nya dengan sekadarnya. Kelak mungkin 'si dia' mungkin bukan jodoh untukmu.

3. Jika kau ingin berbahagia seumur hidup, tahanlah dirimu untuk berbahagia sebelum kau berhak menjadi milik 'si dia'.

4. Jika engkau menyintainya, binalah asas perkahwinan dengan tidak melaggar syariatNYA.

5. Kebahagiaan yang kau lihat sebelum berkahwin hanya palsu, yang hakikinya adalah selepas kau diijabkabulkan.

6. Jikalau engkau inginkan pasangan hidupmu yang terbaik untukmu, maka engkaulah yang patut menjadi yang terbaik dahulu.

7. Membina keserasian sebelum berkahwin bukanlah dengan cara ber'dating', cukuplah sekadar engkau tahu apa yang perlu kau tahu.

8. Bercintalah untuk mencapai cintaNYA.

9. Jika engkau masih belum bercinta, tahanlah dirimu untuk bercinta sehingga yakin cinta tersebut membawamu ke gerbang perkahwinan.

10. Jangan biarkan nafsumu dengan cinta yang tidak diterima disisi ALLAH, kelak ALLAH akan tarik kebahagian darimu.

Setiap nasihat ini mungkin tidak relevan kepada seseorang. Mungkin ia juga relevan kepada seseorang yang lain.